Rabu, 12 September 2012

Unsur -Unsur Penting Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Penulis: ar-rifke
Sumber : ariedrifke.blogspot.com  
 

Falsafah Pendidikan Kebangsaan merupakan satu landasan negara kearah membentuk satu sistem pendidikan yang seimbang. Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi asas dan sumber inspirasi kepada semua rangka kearah pembangunan pendidikan ini sebenarnya mempunyai beberapa unsur-unsur penting yang perlu difahami oleh setiap ahli masyarakat sama ada warga pendidik, para pelajar, mahupun sesiapa sahaja rakyat Malaysia.
   
    Unsur yang pertama ialah “Pendidikan Suatu Usaha Berterusan”. Ungkapan “tuntutlah ilmu sampai keliang lahad” merupakan satu ungkapan yang sangat sesuai bagi menterjemah isi penting ini. Pendidikan merupakan satu proses yang berterusan sepanjang hayat iaitu bermula dari bayi sehinggalah kita meninggal dunia. Proses pemerolehan, pemindahan pengetahuan dan penerapan nilai-nilai murni dalam pendidikan merupakan satu perkara yang tidak dapat dipisahkan lagi. Pendidikan sudah bermula sejak kita berada di rumah lagi, seterusnya pendidikan secara formal di sekolah, institut pengajian tinggi dan sebagainya. 
   
  Jika dilihat dari perspektif lain, pendidikan suatu usaha berterusan ini membolehkan berlakunya perkembangan ilmu yang kritikal, seimbang dan mampu untuk melahirkan modal insan yang menjadi matlamat utama negara kita pada masa sekarang. Sehubungan dengan itu, pendidikan secara berterusan merupakan satu elemen penting dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
   Unsur kedua Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah memperkembang potensi individu. Potensi individu ini boleh dibahagikan pula kepada 4 iaitu unsur intelek, jasmani, emosi, dan rohani. Melalui pendidikanlah potensi individu boleh diperkembangkan dan digilap. Unsur jasmani ialah unsur fizikal individu iaitu berkaitan anggota tubuh badan. Perkembangan dan kecerdasan fizikal amat penting untuk kecerdasan mental kerana ianya merupakan satu perkara yang amat berkait rapat. Unsur emosi pula ialah berkaitan dengan jiwa individu yang mana memberi kawalan kuat kepada semangat perpaduan dan sebagainya. Perkembangan emosi yang sempurna mampu untuk mengawal tingkah laku yang baik.
    Unsur rohani pula merangkumi unsur berkaitan kalbu iaitu hubungan antara manusia dengan penciptanya. Unsur rohani ini lebih menjurus kepada amalan keagamaan. Unsur terakhir ialah unsur intelek iaitu berkaitan daya berfikir. Intelek penting kerana dengan unsur intelek, pelbagai masalah sukar dapat diselesaikan dengan tepat. Semua unsur-unsur ini membantu dalam perkembangan potensi individu dan menjadi asas kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

   Perkembangan potensi individu telah membawa kepada perkembangan unsur ketiga iaitu perkembangan potensi secara menyeluruh dan bersepadu. Perkembangan secara menyeluruh dan bersepadu ini merangkumi perkembangan individu yang maksima pada jalan atau cara yang tepat bagi membantu menggilap potensi yang ada dalam diri individu tersebut.
    Unsur keempat ialah insan yang seimbang dan harmonis. Maksud seimbang dan harmonis di sini ialah insan yang berilmu pengetahuan, mempunyai akhlak mulia, percaya dan yakin kepada tuhan, mempunyai jiwa dan fikiran yang tenteram, sihat tubuh badan, serta matang dari segi emosi dan sosialnya. Insan yang seimbang dan harmoni ini mempunyai jasmani, emosi, rohani dan intelek yang telah diperkembangkan secara kritikal dan bersepadu. Hal ini dapat dilihat dalam kehidupan harian atau tingkah laku individu yang bertanggungjawab, menghormati orang lain, mempunyai kesedaran kendiri yang tinggi dan mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan tenang dan cepat.

   Unsur seterusnya iaitu unsur kelima ialah kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Perkara ini memberi penekanan kepada beberapa perkara penting seperti mengakui wujudnya Pencipta, mengakui manusi dan alam dijadikan oleh Pencipta, mengetahui tentang percaturan yang telah dilakukan oleh Tuhan, faham bahawa manusia dijadikan untuk menjadi khalifah di muka bumi ini dan bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan, menjauhi kemungkaran dan melakukan kebaikan, mengikuti dan mengamalkan ajaran agama, dan yang terakhir sekali ialah sentiasa mengukuhkan kepercayaan beragama.
  Rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan ialah unsur seterusnya iaitu unsur keenaam. Berilmu pengetahuan yang dimaksudkan di sini ialah mereka yang sentiasa bersedia berkongsi ilmu dan menggunakan ilmu untuk manfaat bersama. Antara ciri-ciri individu yang berilmu pengetahuan ialah individu yang mencintai ilmu pengetahuan, minat mentelaah, berfikiran global, berusaha berkongsi ilmu dan menambah ilmu pengetahuan yang sedia ada.
   Unsur yang ketujuh ialah rakyat Malaysia yang berketrampilan iaitu rakyat yang bukan sahaja berilmu pengetahuan, malahan rakyat yang mahir dalam melakukan tugasan dan mampu menjadi rakyat yang inovatif. Selain itu, rakyat yang berketrampilan juga merupakan rakyat yang melaksanakan amanah yang diberikan kepadanya dengan adanya kemahiran yang tepat dan bersesuaian dengan kehendak. Rakyat Malaysia yang berakhlak mulia merupakan unsur yang seterusnya dimana perkara utama yang dituntut adalah rakyat yang mampu untuk menilai mana satu yang baik dan mana satu yang buruk. Kebolehan berfikir jauh dalam menimbang kesan dan akibat sesuatu perkara dan yakin dalam perkara murni yang dilakukan merupakan ciri-ciri yang perlu ada dalam rakyat Malaysia yang berakhlak mulia.
   Mengetahui tugas dan tanggungjawab merupakan amanah yang wajib dilaksanakan dengan sempurna merupakan ciri-ciri yang perlu ada dalam unsur ke sembilan iaitu unsur rakyat Malaysia yang bertanggungjawab. Undang-undang, perlembagaan negara perlulah dihoramati dan dipatuhi agar keamanan negara, perpaduan kaum dan masyarakat dapat dijaga dan diteruskan. Rakyat Malaysia yang mampu menikmati kesejahteraan diri iaitu yang berupaya menangani masalah hidup, mampu berfikir secara waras, mempunyai tubuh badan sihat dan mempunyai kemahiran dalam menjalin perhubungan yang baik dengan orang lain merupakan ciri-ciri bagi unsur kesepuluh.
   Unsur yang terakhir iaitu unsur ke sebelas ialah rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan kepada masyarakat, agama, dan negara. Wujudnya rakyat Malaysia yang mampu memberi sumbangan akan membantu pembangunan negara dengan melahirkan keluarga yang harmoni dan mempunyai nilai-nialai murni seperti semangat kerjasama dan perpaduan. Perkara yang lebih penting ialah adanya rakyat yang mampu menguasai teknolongi dan ilmu-ilmu lain bagi memaksimakan pembangunan negara kita.

    Kesimpulannya, bagi melahirkan modal insan yang seimbang dan harmonis, pencapaian dalam aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani perlulah dititikberatkan dahulu kerana 4 elemen inilah yang menjadi pemangkin sebenar dalam pembangunan modal insan selaras kehendak negara kita bagi mencapai Wawasan 2020.
      

Tiada ulasan:

Catat Ulasan