Rabu, 18 Julai 2012

Berita: 3.6 Juta Sertai Senamrobik


SUBANG JAYA: Usaha Kementerian Pelajaran Malaysian (KPM) melaksanakan Senamrobik Serentak ‘1Murid 1Sukan 1Malaysia’ di seluruh negara, semalam melayakkan program berkenaan dicatatkan dalam Buku Rekod Malaysia (MBOR).

Acara bermula jam 8 pagi itu menyaksikan penyertaan 3.6 juta murid dari 10,000 sekolah di seluruh negara termasuk prasekolah, sekolah rendah dan menengah dengan upacara perasmian diadakan di Padang Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15, di sini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyaksikan proses penyerahan sijil MBOR yang disampaikan pengasas dan Pengarah Urusan Buku Rekod Malaysia, Datuk Danny Ooi kepada Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, dasar 1Murid 1Sukan (1M 1S) yang mewajibkan setiap murid sihat mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan sejajar dengan hasrat kementerian memupuk budaya sukan di sekolah.

“Saya bersyukur kerana Dasar 1M 1S turut memperlihatkan hasrat kerajaan menjadikan sukan sebagai alat utama perpaduan kerana jelas terbukti sukan boleh menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dalam merealisasikan Gagasan 1Malaysia.

“Justeru, bidang sukan gambaran sebenar kepada konsep 1Malaysia yang secara tidak langsung menaikkan semangat patriotisme dalam kalangan murid sekolah,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.
Terdahulu, 3,000 pelajar dan kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Onn Jaafar, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tun Tan Cheng Lock dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Tun Sambanthan Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15, menyertai program itu.

Mewakili semua sekolah di seluruh negara, pelajar mengikut rentak dan irama lagu yang diputarkan di radio dengan diiringi tenaga pengajar dari Sekolah Sukan Bukit Jalil yang turut disertai Muhyiddin.
Bagi memeriahkan suasana, beberapa cara sukan turut diadakan termasuk futsal dan bola jaring bersesuaian dengan Bulan Kecergasan Kementerian Pelajaran Malaysia Tahun 2012 anjuran kementerian berkenaan.

Hadir sama, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Rosli Mohamed; Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Selangor, Abdullah Mad Yunus; Guru Besar (SK) Dato’ Onn Jaafar, Noor Zilah Mohd Rejab, Guru Besar SJKC Tun Tan Cheng Lock, Lee Hooi Gaik dan Guru Besar SJKT Tun Sambanthan, S Mageswari.

Muhyiddin berkata, dia berbangga atas usaha kementeriannya mengambil langkah proaktif mengadakan senamrobik serentak yang menjadi kesinambungan kepada Larian 1M 1S 1M dijayakan di Perak tahun lalu.

Berita: Muhyiddin Lancar Senamrobik Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia


PETALING JAYA: Kementerian Pelajaran sekali lagi melakar nama dalam Malaysia Book of Records (MBR) melalui pembabitan lebih 3.6 juta murid dalam Senamrobik Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia peringkat kebangsaan, hari ini.

Senamrobik itu yang dilakukan serentak di 10,000 sekolah di seluruh negara dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sekolah Wawasan USJ 15 di sini. Dalam perutusannya semasa melancarkan program itu, Muhyiddin berkata, dasar 1Murid 1Sukan yang mewajibkan setiap murid sihat mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan sejajar dengan hasrat untuk memupuk budaya bersukan di sekolah.
"Saya bersyukur kerana dasar 1Murid 1Sukan turut memperlihat hasrat kerajaan menjadikan sukan sebagai alat utama perpaduan kerana jelas terbukti bahawa sukan boleh menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dalam merealisasikan Gagasan 1Malaysia.

"Justeru, bidang sukan adalah gambaran sebenar kepada konsep 1Malaysia yang secara tidak langsung menaikkan semangat patriotisme dalam kalangan murid sekolah," katanya.

Tahun lalu, kementerian mencatat nama dalam MBR melalui program Larian Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia yang dijayakan oleh 4.1 juta pelajar dari 9,980 sekolah seluruh negara.

Sejurus menyampaikan ucapan, Muhyiddin bersama Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud dan beberapa pegawai kanan kementerian yang lain menyertai kira-kira 2,500 murid yang bersiap-sedia di padang sekolah berkenaan untuk melakukan senamronik selama 45 minit.
Sebaik tamat, Timbalan Perdana Menteri menyaksikan penyerahan sijil MBR yang beliau tandatangani kepada Abd Ghafar daripada Presiden MBR, Datuk Danny Ooi.

Muhyiddin turut merasmikan perlawanan futsal antara murid dan melawat gerai pameran.

Berita: 6 Strategi Laksana Dasar 1Murid 1Sukan


JOHOR BAHRU: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pelajaran akan melaksanakan enam strategi selaras pelaksanaan Dasar 1Murid 1Sukan mulai tahun depan, bagi melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah dalam melahirkan pelajar seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dasar berkenaan akan turut memfokuskan untuk mengembalikan kemeriahan sukan di sekolah dengan penyertaan seorang murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan sepanjang tahun itu. Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, sebuah jawatankuasa ad-hoc dipengerusikan beliau sudah mengadakan mesyuarat sebelum ini dan memutus akan melaksanakan enam strategi bagi menjayakan dasar itu.
“Antara enam strategi dipersetujui ialah memberi bantuan kewangan sukan kepada sekolah, mewajibkan pembabitan pelajar dalam aktiviti sukan, mengenal pasti program sukan sekolah untuk dilaksana sepanjang tahun, menubuhkan Bahagian Sukan secara berasingan, elemen sukan dimasukkan dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia dan mengenal pasti lima Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) untuk melatih guru sukan.

“Melalui Dasar 1Murid 1Sukan ini, lengkaplah skop pembangunan sukan di sekolah kerana program Sukan Prestasi Tinggi Sekolah (SPTS) yang khusus bagi membangunkan atlit sekolah cemerlang sudah dilaksanakan sejak Julai 2008,” katanya ketika merasmikan majlis pembukaan Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) ke-52 di Stadium Larkin di sini, malam tadi.

Muhyiddin berkata, selaras transformasi pendidikan, sudah sampai masa kementerian mempunyai kerangka penilaian yang lebih komprehensif dalam mengukur keberkesanan pelaksanaan setiap agenda pendidikan termasuk kegiatan sukan.

“Jika setiap tahun kita mampu memberi penilaian terhadap prestasi akademik murid dalam pencapaian mereka, maka sewajarnya kita juga mampu memberi laporan prestasi dalam bidang lain termasuk sukan.
“Dengan ini, pandangan mengatakan kementerian terlalu menumpu bidang akademik saja dapat disangkal dan ditangani,” katanya.

Mengulas mengenai Kejohanan MSSM, beliau berkata, kejohanan itu pada asasnya adalah sebahagian daripada program SPTS yang bertindak sebagai platform terbaik memberi peluang kepada atlit sekolah mempamerkan kebolehan serta kehandalan masing-masing.

Katanya, kejohanan tahunan itu membabitkan kira-kira 15,104 atlit bertanding pada peringkat kebangsaan, manakala 5,152 guru akan menguruskan pasukan masing-masing, di samping menjadi pegawai sukan.

Beliau berkata, angka serta bilangan penyertaan akan menjadi lebih besar sekiranya jumlah pertandingan dipertingkatkan membabitkan sekolah-sekolah melalui Dasar 1Murid 1Sukan.

“Kita menjadi tuan rumah kepada Sukan Sekolah-Sekolah Asean Kedua Julai ini... oleh itu kita perlu melakukan persediaan rapi dalam menyediakan atlit kita supaya mampu menjuarai temasya tahunan ini,” katanya.

Berita 1Murid, 1Sukan Mula Dapat Sambutan Positif


USAHA kerajaan melaksanakan dasar 1Murid, 1Sukan mulai tahun 2011 sudah mula menampakkan sambutan positif dan meyakinkan berdasarkan perkembangan aktiviti sukan peringkat sekolah di seluruh negara sejak kebelakangan ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika meluahkan keyakinan itu percaya, dasar itu akan dapat diterima guru dan murid kerana matlamatnya cukup jelas iaitu mengembalikan kegemilangan peringkat akar umbi khususnya di peringkat sekolah. “Saya yakin, aktiviti sukan sudah mula dikembalikan, kegemilangan, kemeriahannya sudah mula terasa. Ini sangat penting bagi membantu proses pembentukan sahsiah murid, bukan saja dalam akademik tetapi ko-kurikulum terutama sukan.
“Semua aspek positif boleh dijana melalui sukan, semangat berpasukan, semangat bertanding dan sudah pasti ia membuka ruang melahirkan jaguh sukan negara,” katanya ketika merasmikan Pertandingan Bola Sepak Piala Sultan Azlan Shah 2010 semalam.

Kejohanan tahunan itu membabitkan pasukan bola sepak Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria, Kuala Lumpur dan Kolej Melayu Kuala Kangsar. Dalam perlawanan semalam, SMK Victoria menang 4-0 selepas mendahului dengan selesa hasil kelebihan 3-0 pada separuh masa pertama.

Dasar 1 Murid, 1 Sukan Mula Tahun Depan


KUALA LUMPUR: Rancangan transformasi pendidikan yang meliputi dasar satu murid bergiat dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan akan mula dilaksanakan tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, dasar itu bertujuan mengembalikan kecemerlangan sukan di sekolah dalam negara selain dapat meningkatkan semangat persaingan yang sihat. Katanya, aktiviti sukan juga dapat merapatkan hubungan dan meningkatkan persefahaman selain boleh mewujudkan semangat "esprit de corp" iaitu saling membantu di antara satu sama lain.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan Pertandingan Bola Sepak Piala Sultan Azlan Shah 2010 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Victoria di sini.

Pada perlawanan bola sepak itu, tuan rumah SMK Victoria muncul juara selepas menewaskan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) 4-0. – Bernama.