Rabu, 18 Julai 2012

Berita: 3.6 Juta Sertai Senamrobik


SUBANG JAYA: Usaha Kementerian Pelajaran Malaysian (KPM) melaksanakan Senamrobik Serentak ‘1Murid 1Sukan 1Malaysia’ di seluruh negara, semalam melayakkan program berkenaan dicatatkan dalam Buku Rekod Malaysia (MBOR).

Acara bermula jam 8 pagi itu menyaksikan penyertaan 3.6 juta murid dari 10,000 sekolah di seluruh negara termasuk prasekolah, sekolah rendah dan menengah dengan upacara perasmian diadakan di Padang Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15, di sini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyaksikan proses penyerahan sijil MBOR yang disampaikan pengasas dan Pengarah Urusan Buku Rekod Malaysia, Datuk Danny Ooi kepada Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, dasar 1Murid 1Sukan (1M 1S) yang mewajibkan setiap murid sihat mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan sejajar dengan hasrat kementerian memupuk budaya sukan di sekolah.

“Saya bersyukur kerana Dasar 1M 1S turut memperlihatkan hasrat kerajaan menjadikan sukan sebagai alat utama perpaduan kerana jelas terbukti sukan boleh menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dalam merealisasikan Gagasan 1Malaysia.

“Justeru, bidang sukan gambaran sebenar kepada konsep 1Malaysia yang secara tidak langsung menaikkan semangat patriotisme dalam kalangan murid sekolah,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.
Terdahulu, 3,000 pelajar dan kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Onn Jaafar, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tun Tan Cheng Lock dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Tun Sambanthan Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15, menyertai program itu.

Mewakili semua sekolah di seluruh negara, pelajar mengikut rentak dan irama lagu yang diputarkan di radio dengan diiringi tenaga pengajar dari Sekolah Sukan Bukit Jalil yang turut disertai Muhyiddin.
Bagi memeriahkan suasana, beberapa cara sukan turut diadakan termasuk futsal dan bola jaring bersesuaian dengan Bulan Kecergasan Kementerian Pelajaran Malaysia Tahun 2012 anjuran kementerian berkenaan.

Hadir sama, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Rosli Mohamed; Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Selangor, Abdullah Mad Yunus; Guru Besar (SK) Dato’ Onn Jaafar, Noor Zilah Mohd Rejab, Guru Besar SJKC Tun Tan Cheng Lock, Lee Hooi Gaik dan Guru Besar SJKT Tun Sambanthan, S Mageswari.

Muhyiddin berkata, dia berbangga atas usaha kementeriannya mengambil langkah proaktif mengadakan senamrobik serentak yang menjadi kesinambungan kepada Larian 1M 1S 1M dijayakan di Perak tahun lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan